Tuesday, August 19, 2014

Tips Berkesan Mengingat Secara Mudah


MENGINGAT SECARA MUDAH


APABILA peperiksaan hampir tiba, pelajar-pelajar mula risau sama ada ia boleh mengingat atau tidak fakta-fakta yang telah dipelajarinya. Bolehlah dikatakan bahawa sekiranya seseorang pelajar itu lupa tentang apa yang hendak ditulisnya, kemungkinan, kemahiran untuk mengingat bahan pelajaran sangatlah penting bagi pelajar. Di dalam buku-buku kemahiran belajar telah ditunjukkan berbagai-bagai teknik mengingat yang utama adalah bergantung pada diri kita sendiri, walaupun ada juga pengaruh daripada faktor luar. Sekiranya kita mempunyai keazaman yang tinggi untuk mengingat, kita tentu akan berusahamengingatnya dengan menggunakan teknik tertentu. Teknik mengingat hanyalah sebagai alat untuk lebih menyenangkan kita mengingat.



Doa



Doa adalah sangat penting bagi membantu setiap pelajar agar tenang dan berjaya setanding dengan usaha yang telah dicurahkan. Berikut adalah tips dan doa-doa persediaan dalam menelaah pelajaran bagi menghadapi peperiksaan awam sebenar. Semoga semua calon akan berjaya menghadapinya dengan tenang dan sukses.


Daya Ingatan

SESEORANG yang boleh mengingat bahan pelajaran dengan cekap dikatakan mempunyai daya ingatan yang baik. Daya ingatan boleh dianggap sebagai kekuatan minda kita menyimpan apa sahaja yang kita pelajari, sama ada secara langsung ataupun tidak untuk satu jangka masa yang tertentu. Ahli Sains yang mengkaji tentang ingatan ini telah membahagi ingatan kepada dua, iaitu ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang.

Ingatan jangka pendek dikatakan sebagai kebolehan menyimpan maklumat pembelajaran selama kurang daripada 5 minit, selepas itu maklumat pembelajaran itu akan beransur-ansur hilang dan dilupakan. Dengan adanya ingatan jangka pendek, kita boleh mengambil nota apabila guru bercakap di depan kelas. Kalau guru terus bercakap tanpa mengulang bahan pelajaran yang sama, bahan yang telah ditulis itu akan dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara yang dilupakan kerana tumpuan kita adalah kepada perkara yang baru. Dengan kata lain, ingatan jangka pendek akan berlaku selepas kita mendapat satu maklumat dan maklumat itu tidak perlu kita ingati lagi. Misalnya kita bertanya harga sebuah buku. Selepas kita beli buku tersebut, mungkin kita tidak perlu mengingat harganya lagi, kerana buku itu telah kita miliki.

Ingatan jangka panjang sangat penting bagi seseorang pelajar. Dengan ingatan jangka panjang, pelajar akan dapat menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan. Apabila maklumat atau kesan pembelajaran itu telah berada dalam ingatan jangka panjang, ia senang diingat kembali apabila diperlukan.


Mengingat untuk Peperiksaan

TUJUAN utama pelajar mengingat bahan pelajar ialah untuk menghadapi peperiksaan. Kalau kita boleh mengingat, senanglah kita menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Berikut disenaraikan 14 patah perkataan. Ingati perkataan-perkataan tersebut dalam masa 45 saat sahaja.

wayar               seterika

positif               atom

keupayaan       elektrik

lampu               negatif

kimia                cahaya

haba                 bateri

bunyi                 kinetik


Selepas 45 saat, tutup perkataan-perkataan itu dan cuba ingati perkataan-perkataan tersebut semula. Bagaimana anda boleh mengingat perkataan-perkataan tersebut? Apakah teknik yang anda gunakan untuk mengingat perkataan-perkataan ini?

    Titian Memori

        DALAM Titian Memori, ada 6 cara yang dapat anda gunakan untuk mengingat. Titian tersebut ialah:

        1. Mnemonik, iaitu dengan cara menggunakan huruf atau perkataan bagi sesuatu maklumat.

        2. Emosi, iaitu dengan cara mengaitkan nilai dan motivasi seseorang pelajar dengan bahan-bahan pelajaran.

        3. Mengulang, iaitu dengan cara menggunakan maklumat untuk sesuatu aktiviti dan juga membuat ulangkaji.

        4. Organisasi, iaitu dengan cara menyusun bahan-bahan tersebut daripada bentuk yang kurang sesuai dan tidak biasa kepada bentuk yang sesuai dan lebih dekat dengan kita.

        5. Ringkasan, iaitu dengan cara memendekkan atau memadatkan isi kandungan pelajaran agar lebih senang diingat atau dihafal.

        6. Ikatkan dan imaginasi, iaitu dengan cara mengikat sesuatu maklumat itu dengan perkataan atau objek tertentu.

        M.E.M.O.R.I. adalah berdasarkan huruf awal daripada perkataan Mnemonik, Emosi, Mengulang, Organisasi, Ringkasan dan Ikatan. M.E.M.O.R.I. juga bermakna ingatan, jadi senanglah kita mengingat Titian Memori ini.

Cara Mnemonik

        CARA Mnemonik merupakan satu cara mengingat yang telah lama diketahui dan senang digunakan oleh pelajar. Cara ini telah juga digunakan dalam kehidupan kita seharian dengan tidak kita sedari.

        Huruf Ringkas

        DALAM pelajaran Sains, nama bahan kimia dan nama bahan tertentu diringkaskan sahaja berdasarkan huruf pertama setiap perkataan, sehingga cara ini telah menjadi amalan biasa dan diiktiraf sebagai satu cara yang berkesan untuk mengingat.

        Contoh penggunaan huruf ringkas ialah seperti

        ATP - iaitu untuk Adinosin Triposfat
        DNA - iaitu untuk Asid Deoksi Nukleid (atau Deoxy Nucleic Acid)

        Kadang-kadang ia telah menjadi simbol atau istilah yang mesti dipakai, seperti:

        Pb = Plumbum
        K = Kalium
        Cl = Klorin

        Penggunaan Huruf Pangkal

        PENGGUNAAN huruf pangkal untuk sesuatu perkataan boleh menyenangkan kita mengingat sesuatu bahan pelajaran atau istilah yang berbentuk siri. Huruf pangkal setiap istilah itu dijadikan perkataan yang senang diingat.

        Contoh 1:

        Kelas haiwan vertebrata ialah reptilia, ikan, amfibia, burung dan mamalia. Setiap huruf pangkal kelas haiwan vertebrata, iaitu R, A, I, B dan M disusun menjadi satu perkataan. Contohnya ialah RIMBA. Jadi apabila mengingat kelas haiwan vertebrata ialah RIMBA, dengan sendirinya kita boleh mengingat kelas haiwan itu, iaitu:

        R = Reptilia

        I = Ikan

        M = Mamalia

        B = Burung

        A = Amfibia

        Contoh 2:

        Pelajar selalu mengingat vitamin larut lemak sebagai ADEK, iaitu vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K.

        Contoh 3:

        Peringkat mitosis ialah IPMAT, iaitu I (Interfasa), P (Profasa), M (Metafasa), A (Anafasa) dan T (Telofasa).

        Penggunaan Huruf Pangkal Bagi Lebih daripada Dua Perkataan atau Satu Kenyataan

        Huruf pangkal atau huruf penting bagi sesuatu perkataan boleh juga digunakan untuk sesuatu kenyataan. Kemudian huruf pangkal itu dijadikan satu perkataan atau ayat.

        Contoh 1:

        Tanah terdiri daripada BAU-BOM, iaitu

        B untuk Butiran dan batuan

        A untuk Air tanah

        U untuk Udara tanah

        B untuk Bahan organik

        O untuk Organisma tanah

        M untuk Mineral, iaitu garam mineral
  Membuat Ayat Berdasarkan Huruf Pangkal

        Selalunya pelajar menggunakan huruf pangkal untuk membuat satu ayat. Huruf pangkal ini memberi satu kekunci untuk istilah atau perkataan yang diperlukan.

        Contoh 1:

        Nama 5 enzim yang terdapat pada jus usus kecil yang dirembeskan oleh sel dinding ileum. Boleh digunakan ayat yang berikut:

        "Sukri marah lalat, lipas pening."

        S (ukri) untuk Sukrase

        M (arah) untuk Maltase

        L (alat) untuk Laktase

        L (ipas) untuk Lipase

        P (ening) untuk Peptidase

        Ayat yang digunakan mestilah yang biasa dengan kita dan senang diingati.

        Contoh 2:

        Cara ini sesuai digunakan untuk mengingat contoh-contoh sesuatu bahan, misalnya contoh pelarut-pelarut bukan air. Boleh digunakan ayat yang berikut:
        "Ali tolong emak buat kuih."

        A (li) untuk Alkohol

        T (olong) untuk Turpentin

        E (mak) untuk Eter

        B (uat) untuk Benzen

        K (uih) untuk Kerosin

        Membesarkan Huruf

        Ini dilakukan di dalam buku nota atau kad belajar. Prinsipnya sama seperti Mnemonik yang lain, iaitu menggunakan huruf pangkal untuk sesuatu istilah atau perkataan.

        Contoh 1:

        AGen HAKisan fizikal

        Dalam cara ini, huruf besar pada perkataan itu membawa makna tertentu yang berkaitan dengan agen hakisan fizikal, iaitu:

        A untuk Air

        G untuk Glasier

        H untuk Haba

        A untuk Angin

        K untuk Kilat

        Contoh 2:

        Ada juga cara membesarkan huruf ini untuk kekunci untuk menerangkan sesuatu istilah atau perkataan, misalnya:

        HabiTat

        Di sini dibesarkan huruf H dan T. Huruf H dikaitkan dengan perkataan ‘hidup’ dan T dikaitkan dengan perkataan ‘tempat’. Jadi apabila hendak mengetahui makna habitat, dua perkataan penting yang mesti ada ialah ‘hidup’ dan ‘tempat’. Pelajar boleh mengingati tempat di mana sesuatu organisma itu hidup, iaitu habitatnya.

        Rumusan

        PENGGUNAAN cara Mnemonik selalunya berdasarkan huruf pangkal sesuatu perkataan. Anda boleh menggunakannya dalam pelbagai cara anda sendiri.


No comments: