Monday, March 12, 2012


Oh Tudung Labuh:)



Tudung. Tudung. Tudung.

Ya, bermacam-macam rupa yang boleh kita lihat sekarang kerana semuanya mahu mengikut peredaran fesyen semasa.

Ada yang belitnya dari kiri ke kanan, ke atas ke bawah, disilangnya ke sana, ke mari. Cantik! Namun kebanyakannya tidak mengikut syariat.

Saya dahulu salah seorang dari yang gemarkan fesyen-fesyen lilit-lilit pusing-pusing itu semua. Perempuan mana yang tak mahu kelihatan cantik menarik!

Tambah lagi apabila pengalaman hidup yang saya lalui, berhadapan dengan orang tudung labuh yang berperangai sama macam yang bertudung tak mengikut syariat. Ada yang lebih teruk! Jadi? Kesimpulan awal saya ialah "Ahhh sama je orang tudung biasa dengan tudung labuh. Baik pakai macam biasa, macam kebanyakan orang lain pakai. Nanti bertudung labuh, tak boleh nak gila-gila!"

Namun jauh di sudut hati, ada satu rasa yang bergetar – ada sesuatu yang menarik tentang tudung labuh..

Allah sayang saya. Amat sayang.

Hampir setiap hari dalam hidup, Allah temukan saya dengan artikel-artikel tentang erti sebenar tudung. Saya mula perlahan-lahan, dari tudung yang berbagai fesyen itu, saya tutupkan dada. Masih dengan tudung biasa! Dalam hati, "OK, cukup dah ni". Namun masih sentiasa bermohon pada Allah supaya dilimpahi hidayah-Nya.

Allah masing sayang saya, terlalu sayang.

Allah bukakan mata saya, untuk melihat betapa indahnya, betapa selamatnya bertudung labuh. Allah kenalkan saya dengan insan-insan bertudung labuh, yang masih lagi gila-gila, namun terbatas pergaulan mereka, yang terjaga tatasusila.

Saya seorang yang cerewet, tidak suka pada telekung-telekung di mall yang berbau, berdaki. Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lebih mudah, lebih selesa untuk saya solat, kerana aurat saya sudah terjaga! Tidak perlu lagi telekung-telekung berbau berdaki itu semua.

Saya seorang yang akan hilang rasa hormat pada lelaki-lelaki yang bersiul-siul pada perempuan di tepi-tepi jalan, yang lalu di hadapan mereka. Sangat tidak hormat! Tetapi Allah tunjuk pada saya, apabila bertudung labuh, lelaki-lelaki itu tidak berani buat begitu.

Saya nekad. Dengan hanya dua helai tudung berbidang 60" yang mampu saya beli, saya sarungkan. Terasa betapa Allah sayang saya. Saya rasa sangat selamat dalam dakapan tudung labuh, yang satu masa dulu saya pandang hanya sebelah mata.

Saya sekarang bertudung labuh, tetapi masih gila-gila! Bertudung labuh bukan bererti saya alim. Saya juga masih tercari-cari cahaya. Tetapi tudung labuh itu membantu saya, dalam gila-gila, saya ingat untuk menjaga batas-batas, tatasusila. Yang mendekatkan saya pada cahaya, bukan gelita. Saya malu untuk buat perkara sia-sia, malu jika saya dipandang manusia lain sepertimana saya memandang perempuan bertudung labuh yang "perangai tak serupa tudung" suatu masa dulu.

Tudung labuh itu bukan tanda seseorang itu alim, tetapi itu pelindungnya dari perkara-perkara yang tidak baik. Moga dari kerana tudung, hati saya juga terjaga, akhlak saya dipelihara, akidah saya makin teguh pada-Nya.

Moga saya istiqamah! Moga akhlak saya seindah tudung saya! Amin Ya Rabb!



Haa..Kepada semua warga Sekolah Agama Menengah Hulu Langat,terima kasih kerana sudi membaca dan menghayati artikel yang bertajuk " TUDUNG LABUH " ini.Saya berharap juga agar selepas anda semua membaca artikel di atas,anda tidak akan lagi merungut dan memberi seribu satu alasan kepada pihak sekolah dan unit disiplin sekolah agama menengah hulu langat mengenai pemakaian " TUDUNG LABUH " yang telah di tetapkan oleh pihak sekolah sebagai pemakaian rasmi sekolah..

Terima kasih juga kepada Pihak Lembaga Desiplin dan Pengawas atas pengurusan peraturan pemakaian sekolah dan semua peraturan sekolah yang di tetapkan oleh Sekolah.


TERIMA KASIH

KERANA SUDI MEMBACA:)

2 comments:

cahaya kebahagiaan said...

ske sgt bce ni...
ble fikir balik btol jgak...

samtenhululangat said...

MABRUK ATAS WAJAH BARU BLOG PRS! SEMOGA ISTIQAMAH DLM MENYAMPAIKAN ILMU2 BERGUNA DI MASA AKN DATANG..- USTZH HAZARINA